Thursday, December 9, 2010

Rapuh

Ingat nak up satu entry pasal jalan2...tapi tetiba melekat plak tgk Laskar Pelangi. Aduiiii.....jenuh la nak tgk kat youtube nih. Asik stuck ja. Setakat part 8 yg aku tgk nih, memang super best. Memang feel betul tgk filem after baca buku dia. But tak sure la...which one better...tgk filem baru baca novel or baca novel then tgk filem. Dua2 ok kot. Sakit pinggang weh. Tu baru part 8, byk part lagi nih...hehehe...dah tuaaaaaa!

Baru je nak stop...tiba2 terlekat plak ngan satu lagu nih. Memang aku tercari2 lagu nih. Tapi disebabkan aku lupa tajuk apa and sapa tah penyanyi dia, so tersangkut kat situ je la keinginan aku. 

Alaaaa...lagu tema Chinta tuuuu...





part favourite aku :


meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

Sunday, December 5, 2010

Sudah sampai...

Alhamdulillah...kami sekeluarga dah selamat sampai di bumi barakah para anbiyak, Mesir pada pagi kamis itu hari. Thanks to those yg mendoakan perjalanan kami. Satu perjalanan yg agak smooth...flight pun tak banyak bergoyang2 (huhuhu...aku memang kecut perut betul kalau flight goyang2 nih)...mamad pun ok dan tak nanges time nak take off (selalu dia akan nanges time take off...gayat kot...jgn kata dia aku pun cuak sama weh...buat2 berani je....kehkehkeh...mcm 1st time naek flight...panggggg sedas baru tau!). Tapi cok kembong memang wat spoil. Dia tak mau sit properly time take off tuh. Asik la nak berdiri nak main ngan budak negro kat belakang seat dia. Yg pramugari tuh pun satu, asik la duk sound2 suh pakaikan dia seat belt tuh.

Tapi ada jugak la beberapa perkara yg tak sedap sikit. Masa dlm flight tu tengah aku sedapppppppppp lena dibuai mimpi indah...si mamad uwekkkk la pulak. Tak penah2 muntah tiba2 malam tu muntah la pulak. Agaknya tido dlm keadaan yg tak selesa. Dia tiba2 terjaga tido terus muntah. Habis baju habis seluar. Yang tak bestya aku tak pulak bawak seluar spare. Bajunya ada la aku bwk tp seluar tak ada la pulak. Sudahnya terpaksa la pakaikan dia kain pelikat pak besaq yg dia bwk utk dipakai masa solat. Nasib la ada jugakkan. Yang kelakarnya, tak padan pakai kain pelikat, kemain lasak lasak lagi kat airport cairo tuh. Asik la terlondeh  kain dia tuh. Tak pulak aku snap gambar dia masa tu. Serius tak teringat lsg nak snap2 gambar. Kamera elok je duk dlm beg sampai ler ke hari ni tak bukak2...kihkihkih...

Lani kami berada di Shubro Al-khemah. Jauh sikit dari Cairo. Kira kampung la. Weather was so nice. Tak sejuk sangat...tak panas sgt. Ala2 macam duk dlm aircond 10darjah celcius la gitu. Even tak sejuk sgt pun tapi berstokin jugak la aku...kihkihkih...anggap la aku agak batak la sket ngan winter nih. Takut jugak nak menunggu bulan satu nih sbb org kata time tu laaaaaaaaaaaaagi sejuk. Aduiii...lomah la den. Time2 gini yg sejuk2 manja pun aku seriau nak pijak lantai ini kan pulak nak lagi sejuk. Errr...tgk air pun takut weh. Ini pun tgh2 menaip nih kejap2 aku duk genggam2 tangan aku ni kasi panas sikit. Tapi yg aku musykilkan ngan anak2 aku nih. Rilek betul. Asik la nak mandi. Kat umah kemain liat lagi nak mandi. Si cok kembong nih siap boleh masuk berendam dlm baldi kecik yg dalamya adalah air yg sejuk mcm air dlm peti ais. Melopong aku tgk ok! Mamad pun beria2 tak mau mandi dgn air suam. Hakikatnya dia memang tak suka mandi ngan air suam pun. Tapi ini winter ok....ermmm....watever la kan. Tapi idak la aku nak kasi diorg mandi selalu. Mau sakit paru2 tu nanti.

Seperti aku aku penah ckp sebelum ni, Mesir ni sangatlah 'bagus' bab kebersihan dia. Di Cairo pun kureng apatah lagi kawasan kampung dia nih. Tapi alhamdulillah rumah yg kami duduk ni agak selesa la. Kiranya jauh lebih baik dari apa yg aku expect sebelum nih. Before this aku duk bayangkan rumah yg sempit, kotor pendek kata tak selesa la. Tapi rupanya ok sgt pada aku. Lengkap la dan sangat selesa la kalau nak hidup lebih dari 2 bulan pun. Dapat pakai internet ni pun dah seribu rahmat dah aku rasa. kalau tak rasa macam terputus terus dgn dunia luar. Persekitaran diluar tu...errmmm...pejam mata je la kan. Owh...tutup hidung sama...sebab harum sungguh di sini. Bau taik kuda penyegar udara. Sibbaik sini pesyen tutup tingkap siang malam. So idak la terseksa hidung ku ini.

Rumah yg kami duduk ni kepunyaan family Sheikh Sayyid. Pak besaq p mengaji ngan dia ni la. Dia ni tiap2 tahun akan dtg Malaysia sebagai hakim utk Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa tu. Bagi yg masih tak tahu, actually pak besaq p mengaji al quran dgn dia secara talaqi utk terima sanad melalui dia. 'terima sanad' nih aku sdri tak reti nak explain macam mana. Tapi bg mereka yg mendalami ilmu al quran ini dia tau la. Agak penting la bagi mereka. Berkenaan dgn keluarga sheikh sayyid nih...masyaallah...baiknya diorg nih. Dah la rumah dia bagi free suh duduk, 2 hari pertama tuh asik la suh kami makan kat rumah dia. Naik tebai la muka nih...segan wei. Dah la cakap cam ayam ngan itik...jenuh la duk korek2 balik memori belajar bahasa arab 5 tahun masa sekolah dulu....hehehe...memang tak bleh pakai....sengih ja la labuuu. Sheikh ni ada anak duk kat Kelantan...kawin ngan org sana dan mengajar kat sana. Fasih gila ckp Melayu. Melalui anak dia ni la pak besaq kenai. Bagus la famili sheikh nih...byk buat kebajikan. Rumah yg kami duduk ni tingkat tiga. Dia duk tingkat 2. Satu bangunan ni 4 tingkat. Kira satu bangunan ni dia punya. Depan bangunan ni ada satu lagi bangunan 4 tingkat jugak. Dia punya jugak dan pelajar Malaysia yg duduk situ semuanya. Student M'sia yg duduk situ kebanyakkan adalah student anak dia dekat kelantan tu. Anak dia mengajar sekolah tahfiz di pulai chondong. Kira loaded la shiekh nih. Tapi very humble....duduk pun rumah biasa2 macam student2 situ jugak. Susah jumpa org macam ni. Moga Allah panjangkan umur dia dan murahkan lagi rezeki dia. Seronok kenal dgn org yg berilmu dan baik hati mcm keluarga shiekh ni.

Lani baru pukul 11 malam...tapi dah rasa cam pukul tiga pat pagi dah. Malam panjang musim winter nih. Chau lah.

*Pelik betul ayam jantan kat sini. Berkokok tak kira masa. Dari pagi sampai ke ptg....ptg sampai malam....malam sampai esok paginya. Ke bunyi jam loceng bersuara ayam bekokok sebenarnya?Aku dah konfius nih...!

Sunday, November 28, 2010

Tata semua...

Sepatutnya di saat dan ketika ini kami sekeluarga berada di bumi syam, mesir...(eh...chup, mesir termasuk dlm syam ke ha?tetiba terkonfius sekejap). Tapi tak jadi.Visa tak sempat siap. Patutnya bertolak malam 27hb. Postpone...insyaallah kami akan pergi 2hb ni. Kalau jadi la...hehehe.

Kali ni insyaallah kedua kalinya kami berempat menjejakkan kaki kami di bumi para ambiyak nih. Jodoh kuat betul ye. Last 2 years kami pergi dgn tujuan utk melancong, tapi kali ni berbeza sikit. Pak besaq mau p belajaq mengaji. Tapi tak la lama sangat. Lebih kurang 2 bulan lebih macam tuh. Pak besaq tu muka ja mafia...tapi dalam hati ustat okkkk...hehehehe.

Perasaan???...Owh....serius, takde perasaan langsung. Tak macam kalau nak pegi melancong...excited. Tapi sedikit risau jugak la. Sebab membayangkan life hidup kat sana. Dengan weather yg sejuknya (confirm seminggu tak mandi), dgn lifestyle bandar cairo yg saaaaaaaaaaaaaaangat la hectic...kebersihan memang hancuq(wonder la...apasal negara2 islam yg penah aku pegi except Turky...very2 'terbaek' punya bersih), traffic?Owh...menyeramkan! Pemandu2 yg seolah-olah tgh praktis nak masuk formula 1. Cuma yang agak melegakan sikit sikap penduduk Mesir tu sdri. Pada aku org2 mesir nih quite ok berbanding arab yg lain especially Arab Saudi (huh...sombong giler). Org2 Mesir lebih peramah, baik hati, suka menolong, tak sombong macam Arab Saudi. Apa pun keadaannya hope kami ok la kat sana. Takut jugak stress duk sana sebab pak besaq sah2 la takde kat umah sbb p mengaji, tinggai la kami 3 beranak.

Yang tak tahannya, barang kami bawak...Masyaallah! Gila punya banyak. Bukan salah aku arrr. Seperti biasa ni pak besaq punya keja. Kalau boleh satu lori kot dia mau bwk. Lawak la laki aku nih. Beras pun dia nak bawak ok! Macam la kat sana takde beras. Hurmmm...layan je la. Kebanyakkannya makanan la. Berkotak2. Tapi memang la kat sana makanan tak syok langsung. Takkan hari2 makan roti....hari2 makan nasik mandy. So harus la prepare masak sdri. Kurang2 ikan bilis goreng pun ok maaaa. Aku plan nk bawak cabai burung byk2...hehehe...alang2 dah berkotak-kotakkan. Kat sana takde cili la wei. Yang ada capsicum...ceh...apa barang...errr...tak boleh la makan tak pedas. Tak syok lsg!

Aku tak sure kat sana aku boleh surf internet ke tak. Tapi aku bawak je la pc nih. Kalau tak boleh aku just draft je la. Balik sini baru post entry. Cerita pun dah basi daaaa...

Owh...sedih plak tiba2. I'm gonna miss my KITCHEN. Even dapur aku nih kecik dan hanya beberapa kangkang kera saja besarnya, tapi disini la segala jiwa dan raga dah ku serah. Huhuhuhu...sedeyyyy!
Ok la...tata! May be ni last entry kot before kami berangkat. Doakan kami supaya selamat pegi dah selamat pulang 19 Febuary 2011 nanti ok.

Chup...actually aku hepi bila postpone nih. Dapat la tgk Asmara buat kali terakhir esok....yahuuuuu!

Ok...tata.....!

Monday, November 22, 2010

Kos... bhgn 1

Ok...sambung citer pasal mak aku. Baru2 ni dalam buletin utama ada citer pasal isu C@ncer Per0t. Dan dalam sinar harian baru2 ni pun ada cerita pasal benda yg sama. Menurutnya rakyat Malaysia yg mengidap penyakit ni makin meningkat dari tahun ke tahun. Dan tahun lepas, 10% daripadanya dah 'bye2'. Dan menurut pakar perut...apetah istilahnya...gastrectomy ke apa ke tah, jangan ambil mudah tentang gastrik or ulser perut sebab kebanyakan yg kena kanser ni adalah disebabkan 2 penyakit nih. Satu lagi org yg suka makan masin pun berisiko...owh....takuttnya....aku dah la suka kicap masin, ikan masin, telur masin...aiyaaa!

Ok...kali ni aku nak share pasal bajet kos penyakit nih...ni aku up je la emel abg aku. Syok pulak aku rasa up2 emel nih. Tak payah penat2 taip...hahaha...

Eh...chup...kali ni aku up dulu pasal emel lain. Tapi related jugak la pasal kos. Lain entry aku up yg detail punya...byk emel nih. Rajin betoi org tua(abg aku) ni goreng...

Buat semua,

Berikut adalah beberapa pandangan dan cadangan untuk dibincangkan bersama-sama:

1. Kondisi kesihatan emak - pengambilan ubat-ubatan herba perlu dilakukan dengan teratur dan berdisiplin mengikut aturan-aturannya. Ini merupakan suatu tanggungjawab yang cukup penting untuk memastikan ubat yang diambil diminum/dimakan sepenuhnya pada masa-masa yang telah ditetapkan. Kalau sekiranya disiplin makan ubat ini tidak dapat dijaga dengan teratur dan berdisiplin saya rasa sukar untuk kita lihat perkembangan kesihatan emak yang lebih baik di masa hadapan.

2. Ini membawa kita kepada persoalan siapa yang akan menguruskan kehidupan seharian emak khususnya tentang pengambilan ubat + makan-minum yang sihat dan teratur? Pengurusan kehidupan seharian emak ini bergantung kepada di mana emak tinggal. Kalau kita memilih untuk emak tinggal di KL, kita akan menghadapi kerumitan untuk menangani permasalahan kesihatan emosi, mental, rohani dan sosial emak kerana kebanyakan daripada bentuk-bentuk kesihatan ini umumnya hanya boleh diperolehi jika emak tinggal di Selama. Jika emak tinggal di Selama, siapa pula yang akan menguruskan kehidupan seharian emak perlulah kita putuskan bersama-sama.

3. Secara peribadi dari pengalaman singkat saya menguruskan emak, saya berpandangan bahawa tugas menguruskan emak yang punya kanser + alzheimer adalah suatu tugas sepenuh masa jika kita inginkan suatu pengurusan kehidupan seharian yang menepati disiplin pengambilan ubat-ubatan dan juga pemakanan organik berkhasiat yang teratur. Jika ianya dilakukan secara separuh masa, kita maseh boleh menguruskan emak tetapi pengurusannya akan menghadapi kesukaran di dalam menepati disiplin-disiplin pengambilan ubat dan juga pemakanan organik berkhasiat yang teratur.

4. Persoalannya ialah siapakah di antara kita yang sanggup menguruskan emak secara sepenuh masa? Maknanya kita meninggalkan kehidupan yang kita jalani sekarang ini dan menumpukan sepenuh masa dan tenaga kita untuk menguruskan kehidupan seharian emak. Ini suatu persoalan yang cukup sukar untuk kita semua. Mengapa permasalahan dan persoalan ini timbul telah pun saya jelaskan di email yang terdahulu - iaitu kesan daripada proses perubahan yang berlaku ke atas masyarakat Melayu dari masyarakat pertanian kolektif sara diri dengan sistem kekeluargaan luas kepada masyarakat industri kerja individu bermajikan atau sendiri dengan sistem kekeluargaan nukleus yang terhasil akibat daripada proses modenisasi, industrialisasi, pembandaran dan penghijrahan.

5. Pada pandangan saya terdapat tiga halangan utama untuk kita menguruskan emak secara sepenuh masa. Pertamanya, kerjaya kita; keduanya keluarga kita sendiri yang turut memerlukan perhatian kita; dan ketiganya, lokasi tempat tinggal kita di luar Selama. Seperti mana yang telah saya jelaskan tadi, pengurusan yang terbaik untuk emak adalah secara sepenuh masa dan diuruskan oleh anak-anak beliau sendiri. Tapi persoalannya siapakah diantara anak-anak beliau yang sanggup meninggalkan kerjaya dan keluarga untuk tinggal di Selama menguruskan emak sepenuh masa sehingga emak kembali bebas daripada kanser? Berapa tahun yang diperlukan untuk menguruskan emak? Adakah salah seorang daripada kita sanggup?

6. Sebenarnya bukanlah soal kesanggupan itu yang menjadi perkara pokok di dalam permasalahan ini. Sebenarnya permasalahan ini di luar keupayaan kita untuk menyelesaikannya kerana permasalahan ini lahir daripada perubahan di tingkat struktur sistem masyarakat Melayu yang telah pun berubah pola-pola dan strukturnya. Kalau keluarga kita maseh menjalani kehidupan seharian berasaskan ekonomi pertanian sara diri yang diusahakan secara kolektif dengan sistem kekeluargaan luas yang tinggal setempat mungkin permasalahan ini lebih mudah untuk ditangani. Akan tetapi hakikatnya keluarga kita dan hampir semua keluarga-keluarga Melayu yang lain tidak lagi terbentuk sebegitu rupa. Umumnya keluarga Melayu sekarang ini menjalani kehidupan seharian berasaskan ekonomi perindustrian, makan gaji dan kerja bermajikan atau sendiri secara individu dengan sistem kekeluargaan nukleus yang tinggal berasingan dan jauh antara satu sama lain.

7. Ini adalah hakikat sistem kehidupan yang kita jalani di zaman sekarang ini. Hakikat kehidupan yang sebegini memerlukan pendekatan pengurusan yang berbeza untuk menguruskan emak. Oleh kerana itu saya cadangkan kita mengambil seorang pembantu rumah yang professional untuk tinggal dengan emak di Selama dengan bayaran gaji yang lebih lumayan supaya kerja-kerja menyediakan ubat-ubatan, makanan-makanan khusus untuk emak dan memastikan ubat-ubatan yang disediakan itu diminum dengan teratur dapat dilakukan dengan lebih menepati disiplin jadual yang ditetapkan. Jika kita dapat mencari seorang pembantu rumah yang baik, bukan sahaja kesihatan fizikal emak akan terjaga tetapi juga kesihatan emosi, mental, rohani dan sosial juga turut terpenuh kerana emak dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang memberi makna kepada kehidupannya yang hanya boleh dipenuhi jika emak tinggal di Selama.

8. Namun begitu, jika kita tidak mahu mengambil pembantu rumah, salah seorang daripada kita perlu memberi komitmen untuk tinggal di Selama. Saya sendiri secara peribadi tidak dapat memberi komitmen ini. Walau pun saya tidak perlu meninggalkan keluarga saya (kerana saya belum punya keluarga sendiri lagi) tetapi adalah suatu keputusan yang cukup berat untuk saya meninggalkan kerjaya saya di UKM kerana saya perlukan kerjaya saya ini untuk meneruskan kehidupan saya yang sekarang ini dan menyediakan kewangan yang cukup untuk kehidupan masa depan saya yang kemungkinan besarnya tanpa anak-anak yang akan menjaga saya nanti. Namun begitu, jika emak tinggal di Selama saya cadangkan kita membuat aturan setiap minggu satu keluarga (atau seorang dariapada anak-anak beliau) pulang ke Selama secara bergilir-gilir. Setiap kali kita pulang, kita boleh bekalkan bahan-bahan makanan organik dan supplement herba kepada pembantu rumah untuk menyediakannya.

9. Saya cadangkan pembantu rumah ini perlu dilatih terlebih dahulu dengan latihan yang mencukupi untuk menyediakan ubat-ubatan dan makanan-makanan khusus tersebut. Untuk melatih pembantu rumah ini, saya sanggup untuk mengambil cuti sebulan tanpa gaji (jika dibenarkan oleh UKM) untuk tinggal di Selama dan memberi latihan kepada pembantu rumah yang kita ambil itu.

10. Sebaiknya pembantu rumah yang kita mahu ambil itu ialah yang umurnya lebih tua sedikit dan nampak lebih matang serta boleh berbahasa Melayu supaya senang untuk berkomunikasi dan memahami arahan dan aturan kerja. Yang paling penting setiap calon pembantu rumah yang ingin kita ambil itu, kita perlu interview atau temuramah dahulu untuk memastikan dia sesuai atau tidak untuk menjaga emak kerana penjagaan emak memerlukan aturan dan sistem pengambilan ubat dan pemakanan khusus yang teratur dan berdisiplin memandangkan emak turut menghidapi alzheimer. Kalau kita tidak menemuramah dahulu dan membuat penilaian awal, kemungkinan kita akan mengambil tersalah orang dan ini akan merumitkan lagi permasalahan pengurusan emak nanti.

11. Emak ada memberitahu keinginannya untuk mengambil anak Mak Cik Ro'i sebagai pembantu rumah dan menemaninya di Selama. Mungkin kita boleh pergi berjumpa dan berbincang terlebih dahulu dengan anak Mak Cik Ro'i. Kalau dia setuju dan boleh membantu kita, saya cadangkan kita tawarkan gaji yang lebih lumayan sebagai upah susah-payah dan penat lelahnya itu. Kalau anak Mak Cik Ro'i setuju saya boleh ambil cuti tanpa gaji dan memberi latihan kepadanya selama sebulan di Selama.

12. Soal kewangan untuk menguruskan emak itu kita perlu bincangkan juga kerana perbelanjaan menguruskan kesihatan emak bukanlah murah. Kalau berdasarkan kepada kiraan belanja yang sudah saya buat berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang lepas, dalam sebulan kita memerlukan kurang lebih RM3,500.00 dan setahun kurang lebih RM35,000.00 untuk menguruskan kesihatan, supplement kesihatan, ubat-ubatan herba, pemakanan organik dan kos pengangkutan KL-Selama-Penang pergi dan balik. Saya akan membuat perincian perbelanjaaan emak ini di emel yang akan datang.

13. Kita belum lagi membuat sebarang perbincangan tentang bagaimana untuk kita uruskan soal kewangan ini - Bagaimana mekanismenya? Bagaimana untuk kita berkongsi kos perbelanjaaan ini? Siapa yang memegang kewangan? Bagaimana untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan di dalam perbelanjaan? Bagaimana penyata akaunnya? Bagaimana penyaluran kewangan yang dikongsikan itu? Berapa jumlah kewangan setiap dari kita perlu menyumbang? Menyumbang kepada siapa? Semua ini kita tidak pernah bincangkan lagi. Ini perlu dibincangkan kerana kos perbelanjaan emak bukannya murah dan masing-masing ada tanggungan sendiri, hutang sendiri dan masing-masing perlu juga menabung untuk diri sendiri dan keluarga buat masa hadapan.

14. Persoalan tanah - pendirian saya cukup mudah - tanah yang tidak diusahakan eloklah kita jualkan kepada orang yang boleh dan mahu mengusahakannya. Membiarkan tanah yang menjadi milik kita terbiar begitu sahaja tanpa diusahakan adalah suatu tindakan yang membazir dan tidak membantu memproduktifkan tanah tersebut. Saya secara peribadi cukup berat untuk menerima sebarang harta atau hasil jualan harta yang bukan datang daripada usaha dan penat lelah saya sendiri. Oleh kerana itu saya cadangkan mana-mana harta atau tanah yang terbiar dan tidak diusahakan dijual dan hasil jualannya itu dimasukkan ke dalam suatu tabung amanah bersama yang  boleh digunakan untuk membantu anggota keluarga kita (juga saudara-mara kita yang lain atau warga masyarakat yang kita kenal) yang jatuh susah atau miskin atau yang tak mampu membiayai kos pendidikan anak-anak atau kos kesihatan waktu mereka ditimpa sakit kelak atau apa-apa kos yang dapat membantu meringankan beban kehidupan serta kesusahan mereka.

15. Walau bagaimana pun jika sekiranya ada anggota keluarga kita yang ingin mengusahakan tanah atau harta yang terbiar itu, tak perlulah ianya dijual. Usulan saya untuk memasukkan hasil jualan harta dan tanah itu ke dalam sebuah tabung amanah bersama boleh dipertimbangkan jika sekiranya tiada siapa yang mahu mengusahakan tanah dan harta tersebut. Tapi tujuan tabung amanah bersama itu hanyalah satu iaitu untuk membantu anggota keluarga kita (buat masa sekarang ini emak) meringankan beban kehidupan dan kesusahan mereka di dalam urusan pembiayaan kos kesihatan waktu ditimpa sakit atau kos pendidikan anak-anak mereka atau apa-apa sahaja kos yang boleh kita persetujui bersama-sama yang boleh diambil daripada tabung amanah bersama itu.

16. Untuk penjualan tanah ABIM itu pula, pendirian saya sama seperti di atas iaitu kalau tidak ada di antara anggota keluarga kita yang sanggup mengusahakannya lebih baiklah ianya dijual dan dimasukkan ke dalam satu tabung amanah bersama yang boleh digunakan untuk membiayai kos kesihatan emak. Mungkin hasil dari jualan tanah ABIM tersebut boleh kita gunakan untuk membeli beberapa alat-alat kesihatan yang penting yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan dan kesihatan emak.

17. Contohnya kita boleh menggunakan duit hasil jualan tersebut untuk membeli mesin detox yang membuang toksin-toksin badan secara elektromagnetik yang boleh digunakan oleh emak setiap hari. Mesin tersebut ada dijual di klinik Dr Chris (harga mesin tersebut lebih kurang RM5,000.00). Kita juga boleh menggantikan mesin membuat jus sayur-sayuran dan buah-buahan yang saya beli tempohari yang sudah patah pemegangnya itu kepada mesin jus yang lebih berkualiti, tahan lama dan menghasilkan pati jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih bermutu untuk diminum oleh emak setiap hari (Harga mesin jus sayur dan buah yang baik sekitar RM2000.00 - RM3,500.00). Kita juga boleh gunakan duit hasil jualan tanah tersebut untuk membeli mesin pengubah air paip ke air beralkali yang lebih berkualiti dan mudah digunakan oleh emak di Selama kerana saya lihat sistem tapisan air yang digunakan di Seala itu sudah terlalu lama dan air yang mengalir dari sistem tapisan tersebut juga terlalu perlahan lambat dan tidak begitu user friendly (Harga mesin air beralkali yang baik kualiti dan mudah digunakan ini adalah di sekitar RM2,500.00 - RM3,500.00). Ini adalah antara peralatan kesihatan yang kita boleh beli hasil daripada jualan tanah ABIM itu untuk meningkatkan lagi kesihatan dan kualiti kehidupan emak.

18. Akhir sekali, kalau mesyuarat keluarga diadakan, saya cadangkan kita perlu membentangkan sekali lagi pilihan untuk membuat pembedahan perut kepada emak dan minta emak membuat keputusan sekali lagi. Saya berpandangan keputusan di dalam soal ini seharusnya dibuat oleh emak sendiri - sama ada mahu meneruskan dengan rawatan alternatif ini atau pun membuat pembedahan. Emak sendiri harus membuat keputusan untuk tubuh badannya sendiri. Saya (dan juga kita semua) tidak boleh membuat keputusan untuk emak kerana pada akhirnya yang akan menerima keputusan daripada keputusan tersebut adalah tubuh badan emak dan bukan tubuh badan kita. Walau pun emak ada masalah lupa tetapi emak masih rasional dan masih boleh membuat keputusan untuk dirinya sendiri di dalam soal ini. Oleh kerana itu saya cadangkan dibentangkan sekali lagi kepada emak tentang pro/kon melakukan pembedahan dan rawatan moden dan pro/kon rawatan alternatif dan biar emak membuat keputusannya sendiri.

19. Jika sekiranya emak tidak boleh mengikuti disiplin terapi rawatan ubat-ubatan herba Dr Chris apakah alternatif kita?

20. Jika sekiranya terapi rawatan ubat-ubatan herba Dr Chris tidak berkesan, apakah alternatif kita?

Saya rasa setakat ini sahaja pandangan, cadangan dan soalan-soalan yang saya rasa kita perlu bincangkan bersama-sama. Pandangan dan cadangan yang telah saya kemukakan di atas bukanlah sesuatu yang harus diterima. Bincangkanlah terlebih dahulu. Yang mana yang difikirkan baik bolehlah diambil dan yang mana yang tidak baik, bolehlah diketepikan - tidak ada masalah buat saya jika sekiranya ada yang tidak setuju dengan pandangan dan cadangan saya ini. Yang penting buat saya setiap isu yang timbul berhubung dengan pengurusan kesihatan emak perlulah dibincangkan bersama-sama dengan semua anggota keluarga kita (termasuk emak sekali) dan keputusan yang diambil itu seharusnya dibuat secara konsensus atau kesepakatan bersama.

Sekian. Terima Kaseh.

Shahrir

Saturday, November 20, 2010

Mak Besaq..

Salam aidiladha semua. Raya tahun ni adalah seperti tahun2 sebelum ni...from Taman Suter@ Kajang with love. Tak pegi mana2. Tiap2 tahun pun pasti di sini. Nothing special. Duk umah...masak...fesbuking cam biasa. Baju raya pun tak pakai. Pagi2 bangun...subuh jemaah ngan pak besaq...takbir sikit sebanyak...then terus bersilat kat dapur masak bihun goreng utk breakfast. Ketupat ke...rendang ke...owh...nan ado...malasssss. Tapi masak tetap la masak jugak kan. Lagi pun sunat kan makan dulu sebelum solat aidiladha. Kalau aidilfitri sunat makan after solat kan. Eh...betul ke?Kang pandai2 buat fatwa plak aku nih. Kalau salah tolong betulkan ok. So pas solat pak besaq p settlekan korban. Jadi melangut la aku kat umah tunggu tulang nak wat sup. So petangnya kami anak beranak melantak la bihun sup tulang sampai kembong...serius...sedap gile daging baru nih...manis sampai ke tulang!

Actually kan every year aku sangatlah teringin mengikut pak besaq pegi sembbayang raya kat mesjid. Tapi dia tak kasi. Merayu la camana pun dia tak kasi jugak. Alasan dia sebab anak. Dia takut anak2 tak terjaga time aku tengah solat. Well aku mak dia...aku tau la camana nak handle. Tapi pak besaq ye2 je tak confident ngan aku. Geram betul. But this year dia ajak aku...malangnya aku refuse. Kali ni aku pulak yg tak confiden ngan budak2 ni especially ngan budak pipi kembong nih...mau la dia hilang time aku solat. Kalau tak hilang pun sure time solat tu dia trjerit2 utk try escape dari abangnya. Mamad confirm akan take care adiknya very strickly...melangkah satu tapak pun tak boleh...confirm! And now aku macam ada instict dgn budak pipi kembong nih...aku rasa dia macam ADHD la. Sebab beberapa ciri tu ada. Just aku belum bawak dia jumpa doctor lg. Next year la. Lepas settle beberapa urusan. Insyaallah.

Owh...aku stress la sekarang nih. Berat badan naik tak turun2. Dan sangat menakutkan. Aku takut gemuk dan tak sihat. Kalau sihat tak pe. Eh...ade ke gemuk yg sihat?Sah2 la overweight tu tak sihat kan. Apa yg merunsingkan aku kan...yg kegemukan au ni dah melebihi pak besaq. Dan sememangnya aku layak di panggil MAK BESAQ. Owh...takuttttttt!

Semalam aku try jeans pak besaq. Sebab skrg ni kan winter. So nnti nak pergi ke negara yg berwinter ni ofkos la need pant yg tebal sket and aku pk jeans je la. Actually lepas  kawen aku dah tak pakai jeans atas arahan pak besaq, just pakai slack je. Very the solehah kan aku...heh. Eh...chup....pas beranak mamad aku ade gak pakai sekali sekala. Tapi kejap je. Pastu tak pakai dah. Ok...berbalik pada cerita aku try jeans pak besaq...waaaaa....tak muatttt. Ya Allah....malunya bila tak muat. Rasa mcm tak bleh terima kenyataan. Bila ckp kat pak besaq, dia memang dah agak dah. Then aku tanya adik aku...mana gemok...aku ke pak besaq ke? Dia ckp ofkos la aku... Owh...kenapa aku selama ni tak perasan yg aku lagi gemok drpd dia. eee...tak aci. Memang la selama ni aku tau aku ni gemok. Tapi tak sangka aku lebih gemok drpd laki aku. Ish...tak bleh terima kenyataan la.

Aku rasa...i need to do something la. Kena buat work out every morning. Tadi first time pegi jogging. Ingat nak diet jugak. Tapii tadi terlupa. Balik pas jogging masak2...makan byk. Lepas tu baru teringat...i'm on diet. Macam mana ye tukang masak mau berdiet???

Eh...ape jenis entry aku kali nih? Cam ntah pahappa je...

Thursday, November 11, 2010

Jom makan!

Dalam keadaan dingin seperti sekarang nih...hujan pagi2...owh...nikmat betul bila dapat tido sambil menarik selimut sampai ke tengkuk. Eh...tapi tak boleh kena disiplin. Tak mau tido pagi -pagi. Makanya mari kita makan...yeaaa...satu aktiviti yang sihat...Sarapan...wajib tau (ceh..bab makan...apa yg yg sunat???...hehe). Entry kema tadi cerita pasal ketam...owh...sungguh la jeles melihat ketam yg banyak lagi gemuk itu.

Ok...resepi kali ini tentu2nye la pasal ketam. Actually resepi ni penah up dah sebelum nih. Tapi disebabkan gambo makanan ni je yg ada...aku up je la skali lagi. Tapi dulu gambar yg dah siap. Kali ni aku up skali gambar yg tunjuk step by step. Korang sila la layan sekali lagi dgn penuh keikhlasan. Tadaaaa...LAKSAMI

Ketama...



haaa...nampak tu?Ini lah penangannya kalau dapat laki org laut. Kalau balik kampung tak agak2. Kalau peti sejuk aku tu besar lagi mau dia beli byk lagi. Actually ada lagi...letak dlm kotak ais...tak muat...haloba pm(pak mentua) aku kata. Korang agak stok ni tahan baper lama? ok...out topic plak..nak tunjuk ketam je sebenarnye...ok...amik ketam...bersih2kan. Ketam org kata siang ke bersihkan ke?ok..mana2 la..


kendian...masuk dlm periuk...rebus. Kalau ketam fresh dari laut boleh rebus bodo2 je org kata. Tapi kalau tak fresh sgt bleh la letak sup bunjut ke kiub ikan bilis ke...atau kedua2nya sekali....ikut suka...ikut selera. Garam + gula(bg yg tak 'pak aji') + asam keping.

Sambil2 rebus tu...siang ikan dan siat isi dia. Potong kecik2 macam aku buat tu. Isi tu untuk di masukkan dalam rencah kacang. Tu nanti aku tunjuk. Tulang ikan tu actually korang boleh buat kuah dia. Selalunya kalau aku buat breakfast aku malas nak pakai ketam...aku pakai tulang ikan tu. Just utk memaniskan kuah.

Dalam pada tu sediakan bahan utk sambal. Cabai kering(tiada gambar)+bawang putih(lagi byk lagi sedap)+cabai hidup+bawang besar(seulas dah cukup) = blend semuanya.

Then tumis sampai masak. Garam + gula@pak aji + air asam jawa.

Siap...ketepikan. Kita buat yg lain pulak. Aku suka sambal ni di buat tumis darat. Tau kan tumis darat tu macam mana kan? Goreng bawang merah + bawang putih sikit. Dan garing sikit2 tuang dalam sambal yg dah masak. Pehtu kacau2 bagi sebati. Ghau...ghau bau dia!(shamsul ghau2...pinjam tagline...kata satu kampung kan??)

Ini barang2 untuk buat tumis kacang. Bahan2...kacang panjang(hiris halus2-keja2 ni selalunya laki aku yg buat) + carrot+lobak masin+bawang merah+ bawang putih+isi ikan ug disiat td +udang(option)+sotong(option)

Tumis bahan2 tadi + sos tiram + garam + gula@pak aji.

Ini lah mee yg di guna pakai utk laksami ini. Mee Teow. Tak semua hypermarket ada. Kat sini aku dapat kat pasaraya Hero. Tempat lain aku tak sure. Jusco n Carrefour midvalley tak dak. Rebus sampai lembut. Nak rebus dia mestilah tunggu air mendidih dulu then baru masuk mee. Kejap je, tak lama sgt.

Ketam sudah masak. Tutup api then masukkan daun bawang + daun sup. Aku suka masukkan skali sawi. Ni ikut suka la. Yang tak suka tak payah letak pun ok. Biar kosong gitu.

Apa lagi....makan daaaa. Sambal tu letak byk2 baru malatop...!

Makan ngan kicap... perghhh...speechless! Aku kan paling suka kalau dapat isi ikan yg ditumis ngan kacang macam dlm sudu tu. Nikmat betul !

Errkkkk....alhamdulillah...selamat mencuba!

Nak p goreng mee...lapaq la...belum breakfast maaa.
Tata!

Wednesday, November 10, 2010

mak dah balik kampung

Seperti yg aku cerita entry sebelum ni, mak tinggal dgn aku untuk penjagaan secara insentif...cewah. Yela...bukan senang woo...penjagaan warga tua yg berpenyakit kronik bukan perkara mudah. Susahnya bukan hanya dirasai oleh pesakit tu sendiri tp effect jugak dgn org sekeliling. Bukanlah maksud aku jaga mak sendiri ni menyusahkan tp ia byk menimbulkan konflik terutamanya dari segi emosi. Aku nak explain pun payah. Syukur jugak pak besaq sangat memahami dan byk jugak dia bantu. Waktu ni kekuatan dan pemahaman keluarga saaaaaaangat lah penting. Mak aku ni dikira beruntung sebab punya menantu yg semuanya tiptop gitu....termasuk lah pak besaq....hehehe. Mana taknya, kami 6 org perempuan 2 lelaki. Yg berkawen semuanya perempuan. Makanya menantu semuanya lelaki. Kalau ikutkan priority kami mesti lah untuk suami dan keluarga masing2. Dalam hal ni, kebanyakkan keputusan adalah dari menantu2 mak...yang anak2 sendiri ngikuttttt aje. Tapi leading abang aku yg sulong ler. Sibbaik tak kawen lagi...so kurang la komitmennya.

Mak aku start tinggal kat rumah aku selepas raya hari tu. Dalam 2 minggu sekali dia balik sbb nak kena refer pegi penang ngan doc kris tuh. Korang tau la kan org tua, jasadnya kat sini...tapi hatinya kat rumah. Kesian sangat. Masa mula2 duduk sini lagi teruk. Dia jadi depression. Suka berkurung dalam bilik. Dalam keadaan gelap...kipas pun tak pasang. Aku pun tak tau masa tu nak cakap apa dah. Kang kalau aku dok mendesak dia keluar bilik sgt lagi aku takut dia tension. Nasib la abang aku duduk area bangi je. So dua hari sekali dia datang, sembang-sembang dengan mak. Mak bila abang aku datang dia macam ok sket. Tapi sehari lepas tu dia berkurung balik. Aku pikir...ni apa yg aku pikir la...aku tak tau hati mak aku sebenarnya cemana. Aku pikir mak aku bukan depression sebab sakit dia...tapi tu mungkin sikit sebanyak ada jugak...tapi dia depression sebab tak dapat balik rumah dia sendiri. Dia rasa stress sgt duduk rumah org...even rumah anak dia sdri. Actually mak aku ni jenis yg bersosial sebenarnya. Biasa la org kampung kan. Kat kampung dengan geng2 dia dok pegi mengaji, pegi makan kenduri pegi sana pegi sini. Pagi2 duk sibuk cakar2 daun kering kat keliling rumah aka bersihkan/menyapu kawasan rumah (pelik pulak perkataan cakar...aku panggil cakaq rumput). So...duduk rumah aku sangat la susah dia nak adapt. Sini kebanyakkan org pompuan bekerjaya. Nak bersembang ngan jiran sebelah rumah seminggu sekali pun payah. Bukan nak kata depa, aku yg surirumah sepenuh masa ni pun payah la nak kuar sembang2 ngan jiran. Tapi itu memang gaya hidup warga kosmopolitan masa kini kan. Kita mungkin dah biasa. Life hanya lah famili dan mungkin kawan2 sepejabat bg org2 yg berkerja. Macam aku life adalah laki aku anak2 aku n fesbuk n blogging...hehehe.

So last week mak ngan abg aku balik utk pegi jumpa doc kris. Suppose ahad hari tu dia kena balik sini. Tapi dia dah stat memberontak...so dia tak nak balik. So abg aku pun balik la sorang2 tanpa mak.

Actually kitorg ada satu yahoo group utk family. Aku share ngan korang email abg aku ok. Korang jgn pelik...abg aku kalau beremail sgt lah formal....tp actually dia sgt sempoi orgnya. Aku pun mula2 cam kekok jugak ngan keformalan dia...tapi aku pun lama2 jadi terskema sket bila beremail...hehehe...pelik sungguh dgn diri sdri. Ok...layannnnn

Buat semua,

Ini adalah sedikit pandangan umum saya hasil daripada keputusan emak yang tidak mahu pulang ke Kuala Lumpur pada kali ini dan keinginan emak untuk tinggal lebih lama di Selama. Emak memberitahu kami (Liyana, Fahmi, Chu Zurai, Pak Su dan saya) tentang keinginannya itu sewaktu kami makan di persisiran pantai selepas bertemu dengan Dr. Chris.

Sebelum ini pun emak sebenarnya sudah menyatakan keinginannya itu banyak kali kepada saya (dan juga mungkin kepada yang lain juga) tetapi kali ini cara emak memberitahu kami itu agak keras.

Cara emak memberitahu kami itu pada pandangan saya agak keras kerana emak memberitahu kami sambil menepuk-nepuk meja. Mungkin Liyana boleh menjelaskan dengan lebih lanjut tentang kejadian ini.

Pada pandangan saya, emak sebenarnya sudah hampir ke titik jenuhnya. Emak belum sampai lagi ke titik jenuhnya tetapi semakin hampir ke situ. Kerana itu saya fikir sebelum dia sampai ke titik jenuhnya itu adalah lebih baik saya turuti kemahuannya untuk tinggal di Selama lebih lama. Liyana pula sudah menyatakan kesediaannya untuk menjaga emak buat sementara waktu.

Saya mohon maaf kepada semua kerana terpaksa membuat keputusan ini dengan hanya memberitahu melalui SMS sahaja. Saya sebenarnya merasakan bahawa setiap keputusan yang kita buat berhubung dengan pengurusan emak haruslah melalui konsensus atau kesepakatan bersama. Tetapi pada kali ini saya tak dapat nak membuat keputusan melalui perbincangan bersama kerana yang ada di Selama hanya Liyana dan saya sahaja dan emak pula pada pemerhatian saya sudah hampir ke titik jenuhnya.

Terdapat beberapa tanda dari pemerhatian saya yang akan saya beritahu kenapa saya katakan yang emak semakin hampir ke titik jenuhnya itu. Pemerhatian saya ini akan saya senaraikan di emel yang akan datang. Emel ini hanya untuk saya kemukakan sedikit pandangan ringkas yang umum sahaja tentang permasalahan yang sedang kita hadapi ini.

Pertamanya, saya rasa kita perlu berkongsi pandangan, pemerhatian dan perasaan kita di dalam hal menguruskan emak secara jujur. Tugas menguruskan orang tua (ibu atau bapa) yang punya kanser + alzheimer (pelupa) sebenarnya adalah suatu tugas yang sukar dan rumit di dalam konteks masyarakat moden sekarang.

Sebenarnya di dalam kajian gentrologi (kajian tentang proses penuaan) terdapat banyak perbahasan-perbahasan empirikal hasil dari kajian lapangan tentang kompleksiti di dalam menjalani kehidupan tua bukan sahaja kepada warga tua tersebut tetapi juga kepada sistem pengurusan warga tua di zaman moden ini.

Kalau rajin, boleh baca banyak kajian-kajian tentang gentrologi khususnya tentang sistem pengurusan warga tua di beberapa jurnal sains sosial. Kajian psikologi tentang pengurusan warga tua juga telah banyak dilakukan. Mungkin Liyana lebih arif tentang kajian warga tua dari perspektif psikologi ini. Saya hanya boleh memberi sedikit pandangan ringkas dari perspektif sosiologi sahaja.

Kompleksiti serta kerumitan di dalam proses penuaan dan pengurusan warga tua ini adalah sesuatu yang tidak terelakkan apabila berlakunya perubahan di dalam masyarakat khususnya masyarakat Melayu apabila proses modenisasi, perindustrian, perbandaran dan penghijrahan berlaku dengan pesatnya sejak 20-30 tahun yang lalu.

Dari sebuah masyarakat kolektif pertanian saradiri yang mendiami kampung, masyarakat Melayu umumnya berubah ke masyarakat kerja individu bermajikan yang berhijrah dan mendiami pula kawasan pekan atau bandar. Pengurusan warga tua menjadi lebih rumit apabila anak-anak yang berhijrah ini sudah pula membangunkan kerjayanya yang mapan dan membina keluarganya sendiri di kawasan penghijrahan baru itu yang jauh pula dari kampung asal.

Perubahan yang terhasil daripada proses modenisasi, industrialisasi, pembandaran dan penghijrahan ini memberi kesan yang cukup besar di dalam pengurusan warga tua khususnya masa dan tenaga kita lebih banyak digunakan untuk kerjaya dan membina keluarga sendiri yang setiap satu daripadanya (kerjaya dan keluarga) memerlukan tumpuan yang juga penting dan tidak boleh ditinggalkan. Ini tidak terelakkan kerana kerjaya adalah sumber penerusan kehidupan kita dan keluarga sendiri pula adalah sumber kebahagiaan kita.

Pengurusan warga tua ini menjadi lebih rumit dan tidak stabil apabila kita maseh di dalam period masa transisi. Transisi di sini maksudnya kita maseh berada di tengah-tengah, maseh belum berubah sepenuhnya. Kita maseh berada di antara masyarakat kampung dengan nilai-nilai dan ciri-ciri kehidupannya yang khusus dan juga masyarakat pekan atau bandar dengan nilai-nilai dan ciri-ciri kehidupan khususnya yang berbeza pula.

Di dalam period transisi seperti ini, warga tua yang melalui proses penuaan dan juga kita yang menguruskannya mengalami kesukaran dan kerumitan kerana kita maseh belum menemui suatu sistem yang stabil yang bersesuaian dengan nilai-nilai diri kita dan juga ciri-ciri kehidupan kita yang maseh di dalam period masa transisi ini.

Ini wajar sahaja dan sesuatu yang normal kerana kebanyakan daripada keluarga kita adalah generasi pertama yang berhijrah, berkerja dan mendiami di bandar atau pekan kecil dengan ikatan kepada kampung (berserta nilai-nilainya) yang maseh lagi kuat.

Kemungkinan apabila keluarga kita sudah masuk ke generasi yang kedua dan ketiga permasalahan di dalam menghadapi proses penuaan dan menguruskan warga tua akan menemui suatu sistem yang lebih stabil yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak iaitu pihak yang tua dan pihak yang menguruskan yang tua.

Namun begitu buat masa kini, di dalam period transisi ini, adalah sesuatu yang normal sahaja untuk kita menghadapi kerumitan-kerumitan seperti ini. Yang penting kita harus berkomunikasi secara jujur tentang pengalaman, perasaan dan fikiran kita di dalam hal ini. Hal yang rumit seperti ini harus kita kongsi bersama-sama supaya sebarang keputusan yang kita buat adalah keputusan bersama dan bukan keputusan seorang-seorang.

Kerana itu memberi respon terhadap emel adalah penting supaya kita masing-masing tahu apa yang berlaku. Melaporkan progres, tindakan dan tingkah-laku emak itu juga cukup penting supaya semua orang tahu kondisi terkini emak.

Bukan sahaja tentang diri emak tetapi juga tentang kompleks yang diri kita sendiri alami di dalam menguruskan emak, digalakkan untuk kita berkongsi bersama-sama di dalam emel ini supaya anggota keluarga yang lain yang tidak menguruskan emak secara langsung turut memahami kompleksiti yang kita hadapi. Walau pun begitu saranan ini bukanlah suatu kemestian. Ia cuma saranan semata-mata. Terpulanglah kepada masing-masing sama ada mahu berkongsi atau pun tidak mahu berkongsi mengenai perasaan dan fikiran masing-masing itu.

Saya akan menulis lagi tentang beberapa pemerhatian saya tentang kondisi emak khususnya berhubung dengan beberapa tanda yang menunjukkan emak semakin hampir ke titik jenuhnya.

Sekian. Terima Kaseh.


Shahrir



Ada sambungan...continue next entry...
tata....